PERANAN MAKANAN UNTUK MEMELIHARA FITRAH DIRI



Manusia dilahirkan fitrah, penuh keberlimpahan, penuh kasih sayang. Namun, semakin dewasa fitrah itu semakin pudar, semakin menjauh, semakin hilang. Hilangnya fitrah diri, segala keberlimpahan semakin tidak dirasai.


Jika kita renung sejenak kisah ulama terdahulu, mereka sangat menjaga perihal makanan. Makanan bukan sekadar halal tarafnya tetapi beserta dengan sifat toyyiban. Lihatlah Imam Syafie, mampu menghafal al-quran seawal usia 7 tahun? Beliau sangat tekun menuntut ilmu, mempunyai akhlak yang sangat mulia dan menjadi rujukan umat Islam sekarang.


Diriwayatkan ayahnya Idris bin Al-Abbas sangat mementingkan soal pemakanan. Kisah yang sering dibicarakan ialah kisah Idris yang termakan sebiji epal yang dijumpainya di tepi sungai. Setelah itu, Idris merasa amat bersalah kerana memakan buah tersebut tanpa meminta izin tuannya. Idris pun mencari pemilik kebun epal itu dan akhirnya pemilik kebun itu memberi satu syarat untuk dia menghalalkan epal tersebut. Idris haruslah berkahwin dengan anak perempuannya yang buta, tuli, hodoh dan bisu. Disebabkan mahu dihalalkan juga sebiji epal yang dimakan itu, maka Idris pun setuju. Alangkah terkejutnya beliau apabila wanita yang dikahwininya itu sebenarnya sangat cantik dan sempurna rupa paras dan akhlaknya. Tidak buta, tidak tuli dan tidak bisu pun.


Itulah kisah pertemuan dan perkahwinan ibubapa Imam Syafie. Bapanya sangat menjaga soal pemakanan. Apa yang dimakan akan menjadi darah daging. Jika baik sumber makanannya maka, manusia akan lebih lembut hatinya, lebih mudah terdorong melakukan kebaikan. Sebaliknya pula apabila sumber makanan tidak baik. Manusia akan lebih keras hatinya dan lebih cenderung berbuat kejahatan.



Jika kita perhatikan sekarang, sememangnya kita masih dilimpahi makanan yang halal. Namun tahap toyyibannya masih banyak diragui. Makanan diproses oleh siapa dan bagaimana pun kita tak pasti. Makanan proses juga kandungan nutrisinya tidak sama seperti makanan segar. Tahap energi positif di dalam makanan proses sangat rendah. Ia tidak mampu memberi
kesembuhan spiritual kepada manusia.


Selain sudut makanan itu, sumber rezeki yang kita gunakan untuk mendapatkan makanan itu juga perlu dijaga. Gunalah rezeki dari sumber yang bersih, dari hasil pekerjaan yang jujur dan amanah. Dari situlah datang keberkatan dan membantu memberikan tenaga positif dalam makanan.

Manusia sekarang sudah terbiasa mendapatkan makanan sekadar untuk memenuhi perut yang lapar tetapi bukan untuk menjadi pengubat jiwa. Makanan hanya untuk memuaskan nafsu sahaja. Adab-adab berhadapan makanan diabaikan sama sekali. Sedangkan sumber makanan itulah merupakan antara faktor utama untuk menjaga kesihatan mental, fizikal dan emosi.

Sangat betul dan sangat tepat seperti kata pepatah : ANDA ADALAH APA YANG ANDA MAKAN.

Comments

Popular posts from this blog

PERKEMBANGAN AWAL OTAK MANUSIA

PENGENALAN MINDA MANUSIA

BETUL KE ALLAH ITU ADIL?