BETUL KE ALLAH ITU ADIL?

Seringkali bila dilanda kesusahan, manusia kerap menyalahkan takdir, menyalahkan Allah. Mengapa hal ini terjadi pada aku? Tak habis-habis ditimpa masalah. Mula lah hati tu meragui keadilan Allah. Betul ke Allah tu adil? Kalau adil kenapa aku asyik susah je?

Sahabat, renungkan. Betul ke kau asyik susah je? Takkan tak pernah sekali pun kau gembira? Jika langsung kau tak pernah gembira, pastinya ada kekurangan di lubuk hati mu. Hati mu yang tidak dapat merasa kasih sayang Allah, tidak dapat mensyukuri nikmat Allah, bukannya Allah yang tidak memberi kesenangan kepadamu.

Susah dan senang adalah hukum dualiti. Hukum keseimbangan yang banyak kali Allah sebut dalam Al-Quran. Apabila kita susah, kita kata Allah tidak adil. Tapi bila kita senang, ada tak kita kata Allah tak adil? Sedangkan untuk adil itu perlu ada keduanya, susah dan senang. Saya rasa takde kot manusia kat dunia ni bila senang, tiba-tiba memohon kesusahan. Takde pun kan? Nah, sekarang siapa yang tak adil, Allah ke kita?

Jadi bila susah, terima dahulu dengan redha dan tenang. Setiap kehidupan ini ada kitarannya. Yang susah pasti berubah menjadi senang. Dengan syarat, kita menerima dahulu kesusahan itu. Selagi kita menolak, selagi itu kesusahan itu akan datang malah akan lebih kuat, lebih berat kesusahannya.

Ramai yang fokus kepada kesusahan sehingga tidak nampak solusi kepada permasalahan itu. Ramai yang fokus kepada kesakitan sehingga mereka tidak nampak nikmat-nikmat Allah yang lain. Sehingga mereka berkata bahawa Allah tidak adil.

Sedangkan orang-orang yang kurang upaya, hilang anggota badan masih mampu bersyukur dengan nikmat Allah. Ada sahaja orang yang lebih susah hidupnya tetapi masih mampu bersyukur kepada Allah. Orang-orang kaya, yang kita nampak sentiasa senang-lenang dan bahagia, sebenarnya mereka juga sama seperti kita. Ada susah senangnya. Bezanya dengan kita, mereka hanya fokus kepada perkara yang bermanfaat, fokus kepada penyelesaian.

Sebagai umat Islam, perbanyakkan bersyukur. Seperti janji Allah, "Jika engkau bersyukur, Aku beri lebih". Jadi, belajarlah bersyukur dahulu walau sekecil-kecil nikmat. Berbaik sangka pada Allah. Allah Maha Adil, Allah Maha Penyayang.

Comments

Popular posts from this blog

PERKEMBANGAN AWAL OTAK MANUSIA

PENGENALAN MINDA MANUSIA